Al-Quran Nur Karim

Asas Keimanan


By : As-Syahid Imam Hasan Al-Banna

Iman yang benar ialah iman yang merangkumi pengertian dan ciri-ciri keimanan seperti bersih daripada syirik Khafi dan riya'.Iman yang benar meresap ke dalam hati dan bertakhta di jiwa menggerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT, menjadikan perkara-perkara ghaib seolah-olah hadir di depan mata, memenuhkan jiwa dengan perasaan tenang, tabah dan tetap pendirian, memudahkan mereka yang mempunyai iman seperti ini berkorban apa sahaja demi jalan Allah, menambahkan penggantungan, kepercayaan, tawakkal, harapan, takut dan penyerahan mereka kepada Allah SWT. Bila pengertian iman seperti ini memenuhi hati seseorang muslim jiwa akan ringan melakukan apa sahaja bentuk ibadah dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Ibadah dan iman seperti ini mempunyai pengaruh dan kesan yang besar dalam kehidupan di dunia dan akhirat.Kehidupan dunia akan dipenuhi dengan kegembiraan, kebahagiaan, dan ketenangan yang meresap di seluruh jiwa.Kegemilangan yang sungguh indah dan cahaya yang terang akan memenuhi batin seseorang muslim.

Apabila cahaya batin ini bertambah sinarnya dan melimpah di wajah muslim, sinar dapat dilihat pada orang-orang yang beriman sekalipun kulit Muslim itu hitam atau sawo matang.Manakala di akhirat pula kemanisan iman ini dapat dirasakan lebih manis dari madu. Sebahagian dari tanda-tanda lahir kemanisan iman ialah kecintaan seseorang mu'min untuk melakukan ibadah, merasa selesa dan tenang melakukannya serta merasa rindu dan lapang dada melakukannya.

Janganlah kita merasa pelik dan menganggap perkara ini hanyalah khayalan semata-mata kerana iman mempunyai kemanisan yang dapat dirasakan oleh roh sebagaimana lidah dapat merasa kemanisan makanan.Hadith Rasulullah s.a.w. yang mulia telah menyebut: " Jika terdapat perkara ini pada seseorang beliau akan merasakan kemanisan iman:beliau mengasihi Allah dan rasul-Nya lebih dari segala sesuatu, beliau benci untuk kembali kepada kekufuran setelah dilepaskan Allah daripadanya sebagaimana beliau benci dicampakkan ke dalam api neraka, beliau mengasihi seseorang bukan kerana sesuatu tetapi kerana Allah"

0 comments: